Thursday, September 3, 2009

MENGGULINGKAN KERAJAAN TIRANI DALAM DIRI

85571670Bagaimana kalau kereta yang kita pandu rosak “brek”nya? Sangat merbahaya. Kita boleh terbabas, terjunam dan berlanggar sebaik sahaja mula bergerak. Maka begitulah puasa dalam hidup kita – fungsi utamanya menahan (brek). Puasa itu daripada perkataan saum – ertinya menahan. Apa yang kita tahan? Ya, nafsu kita. Nafsu yang asalnya jahat, tetapi mesti kita uruskan kerana ia mempunyai fungsi yang penting dalam kehidupan. Nafsu itu mesti kita kawal, bukan sebaliknya. Kemampuan mengawal nafsu inilah umpama brek pada kenderaan diri kita.

Dan mekanisma latihan untuk mengawal hawa nafsu ini ialah puasa. Jika kita bebar-benar berpuasa, insya-Allah, kita akan mempunyai kekuatan dan kemampuan mengawal hawa nafsu – yang menjadi punca segala sifat buruk dan jahat (mazmumah). Nafsulah yang bersaing dengan akal untuk menguasai hati. Jika nafsu tidak terkendali, akal akan kalah dan hati akan ditawan. Maka tegaklah kerajaan Tirani dalam diri kita. Penzaliman, kejahatan dan kerakusan akan bermaharajalela. Syukur, Allah kurniakan kita puasa… jika tidak kita akan terkapa-kapa, diperbudakan oleh hawa nafsu ke arah kehancuran. Bukan sahaja di akhirat, malah di dunia lagi.

Kita mesti gulingkan kerajaan tirani dalam diri. Kita mesti laksanakan revolusi malah perang habis-habisan. Jika tidak segala sumber yang ada pada diri akan dilaburkan kepada kejahatan. Segala kekuatan dan upaya akan terarah kepada kemungkaran. Mari kita gulingkan kerajaan tirani ini. Mari kita berperang habis-habisan dengan nafsu di Ramadhan ini.

Ya, Ramadan datang lagi. Ahlan wasahlan. Masyarakat Islam menyambut Ramadhan dengan tanggapan yang berbeza berdasarkan keyakinan, tanggapan dan tahap ilmu masing-masing. Ada yang melihat di sudut kewangan, bagaimana Ramadhan boleh menambah atau mengurangkan pendapatan? Ada pula yang melihat di sudut kesihatan, bagaimana puasa mempengaruhi kesihatan tubuh badan? Manakala ada pula yang memandang di sudut pahala dan dosa, berkat dan fadhilat, rahmah dan maghfirah. Pandangan-pandangan secara langsung akan membentuk sikap dan perlakuan kita bukan sahaja pada bulan yang mulia itu, tetapi juga pada bulan-bulan yang lain.

“What you see is what you get”. Maksudnya, apa yang kita lihat menentukan apa yang akan kita dapat. Jadi kesan dan manfaat puasa bergantung kepada cara kita melihatnya. Jika pandangan kita mengenai puasa tepat, maka kita akan mendapat hasil yang tepat juga. Sebaliknya, jika pandangan kita tersalah atau serong maka akan tersasar jugalah hasil dan kesan puasa itu. Inilah yang berlaku dalam masyarakat Melayu Islam dewasa ini – kesan puasa tidak padu dan menyeluruh. Antara penyebabnya ialah pandangan kita terhadap puasa yang tidak tepat.

Kebanyakan umat Islam mengamalkan puasa pada aspek ‘ritual’nya sahaja. Aspek-aspek yang lebih mendasar dan mendalam yakni elemen ‘substance’ dalam puasa itu sering kali terabai. Semasa bulan puasa kita melihat mesjid penuh dengan orang bertarawih, Quran ditadaruskan, majlis berbuka puasa yang meriah dan lain-lain amalan tradisi. Namun bagaimana kesan amalan-amalan ritual itu dalam menjana akhlak dan keperibadian yang tinggi. Tegasnya, apakah pakej amalan-amalan rohani sepanjang Ramadan mampu menyekat kemungkaran dan kejahatan hingga terbina sebuah keluaraga yang bahagia masyarakat yang penyayang?

Puasa kerap dilihat secara terbatas – yakni hanya sebagai satu tuntutan ibadah khusus yang memerlukan kita menahan lapar, bersahur, solat tarawih dan sebagainya. Begitulah selalunya anggapan sesetengah kita. Sedangkan skop puasa hakikatnya lebih daripada itu. Puasa pada pengetian bahasa ialah ‘menahan diri’. Jadi apa sebenarnya yang tersirat dalam kunci-kata ‘menahan diri’ itu? Apa yang perlu ditahan? Kenapa kita perlu menahannya? Dan bagaimana?

Tujuan puasa yang utama ialah menahan dan melawan nafsu. Ia adalah sumber kejahatan yang utama dalam diri. Nafsu yang ada di dalam diri kita adalah punca seluruh kejahatan dalam kehidupan. Jadi, puasa adalah satu proses (mekanisme) khusus untuk membantu manusia bagi melawan dan menjinakkan nafsu yang secara semulajadinya sangat buas dan jahat. Allah swt menyebut dalam firman-Nya:

“Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan”

Rasulullah saw bersabda:

“Musuh yang paling kuat memusuhimu ialah nafsu yang berada di dalam dadamu.”

Dengan berpuasa, orang Islam hakikat sedang melawan hawa nafsu untuk mencapai rasa taqwa di dalam diri. Jika solat adalah latihan menghubung hati secara lansung dengan Tuhan, zakat membersihkan rasa tamak pada harta di dalam jiwa, maka puasa adalah ibadah khusus untuk melawan hawa nafsu. Dalam ibadah puasa adalah pakej latihan-latihan tertentu untuk menangkis segala kejahatan nafsu demi membentuk rasa taqwa yang sejati.

Firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.”
Al-Baqarah: 83

Soalnya bagaimana melaksanakan puasa hinga tercapai maksud melawan hawa nafsu itu?


Ayat Quran surah Al Baqarah:83 itu menjelaskan bahawa puasa mesti dilaksanakan atas dasar iman. Sebab itu kewajiban berpuasa dimulakan dengan seruan ‘wahai orang yang beriman.’ Tegasnya, seseorang berpuasa mestilah didasari oleh keyakinannya kepada Allah. Oleh itu puasa mesti dinilatkan ‘kerana Allah’. Di sinilah sering berlaku kesilapan dikalangan umat Islam. Tanpa disedari ramai yang berpuasa bukan atas dasar iman.

Kadang-kadangkala apa yang ‘diniatkan’ lebih terfokus kepada hikmah bukan perintah. Misalnya, antara hikmah berpuasa ialah dapat melahirkan rasa simpati, empati dan ihsan kepada orang-orang miskin. Ini kerana rasa lapar dalam bulan puasa mengingatkan kita pada nasib orang-orang miskin yang selalu berlapar. Benar, ini adalah antara hikmah berpuasa tetapi itu bukan niat utama kita berpuasa. Jika itulah niat yang utama, kenapa orang miskin yang sering berlapar itupun masih diwajibkan berpuasa?

Besar bezanya, ‘berlapar’ kerana Allah berbanding ‘berlapar’ kerana tidak ada makanan. Sebab itu, simiskin yang selalu berlapar kerana tidak ada makanan itupun diwajibkan berlapar kerana Allah pada bulan Ramadan. Sesetengahnya pula terlalu asyik memburu fadilat hingga fadilat itu yang menjadi niatnya. Sayugia diingatkan bahawa fadilat bukanlah dasar sesuatu ibadah, tetapi ia hanya bersifat galakan atau ‘insentif’ yang berfungsi sebagai galakan atau dorongan.

Untuk memberi kesan pada pembentukan peribadi, puasa mestilah dibuat berdasarkan rasa kehambaan kepada Allah. Sebagai hamba Allah, maka sudah sewajarnya kita mematuhi perintah Tuhan samada dengan atau tanpa ganjaran. Puasa yang dilaksanakan atas dasar inilah yang akan memberi kesan kepada pembentukan peribadi. Inilah maksud kenapa seruan berpuasa ditujukan kepada ‘orang-orang beriman’ dalam ayat Quran tersebut. Pendekata, muqaddimah puasa mesti tepat supaya natijahnya juga tepat.

Sungguhpun begitu, niat yang betul sahaja belum menjamin kesan puasa yang baik. Ia perlu disusuli oleh pelaksanaan yang baik juga. Sebab itu puasa hendaklah dilaksanakan dengan cara yang betul dan tepat mengikut segala ‘manual’ feqahnya. Dan ia juga mesti dilaksanakan dengan ‘roh’ tasawufnya. Selain menepati hukum wajib dan sunatnya secara feqah, puasa juga hendaklah diiringi dengan melaksanakan amalan-amalan yang baik dan meninggalkan amalan-amalan jahat dari segi lahir mahupun batin.

Pada dasarnya nafsu adalah musuh batin, maka sepatutnya ia juga mesti ‘dilawan’ secara batin juga. Namun soal batin sangat berkait dengan soal lahiriah. Oleh itu pertalian kuat antara nafsu dengan makanan, pandangan, perkataan, penciuman dan sebagainya mesti diputuskan!

Paksi kejahatan dalam diri itu digambarkan begini… Nafsu mendapat kekuatan dari makanan dan ransangan syaitan. Dan ia menjadi kuat apabila seseorang makan secara belebihan. Nafsu perut (makanan) pula sangat berkait dengan nafsu seks. Dari sini lahirlah sifat-sifat mazmumah seperti tamak, hasad, pemarah dan lain-lain. Maka apabila seseorang makan dengan banyak, nafsunya akan menjadi kuat dan sifat mazmumah akan meningkat untuk disalurkan pada jalan-jalan kemungkaran.

Ini menjelaskan kepada kita kenapa pada bulan puasa, yang mana syaitan telah ‘dirantai’ pun, ramai yang melakukan kemungkaran. Berdasarkan logika, nafsu sepatutnya sudah lemah dalam keadaan sebegitu. Sumber tenaganya (makanan) dan ‘motivator’nya (sayitan) sudah tidak ada. Kenapa? Ini kerana proses ‘menyempitkan’ saluran darah (yang merupakan ‘higway’ syaitan) dengan mengurangkan makanan tidak tercapai justeru sewaktu berbuka puasa saluran ini dibuka seluas-luasnya semula. Jadi apa lagi, nafsu pun mengamuk kembali. Kita bukan menyekat nafsu makan, tetapi hakikatnya cuma mengempangnya buat seketika dan apabila telah membuak-buak kita lepaskan semahu-mahunya. Jadi tidak hairan kalau nafsu bukan semakin lemah, tetapi semakin kuat dibulan puasa!

Mengapa ini terjadi? Mudah sahaja. Ini disebabkan kita tidak melihat puasa sebagai satu mekanisme melawan hawa nafsu melalui menyempitkan laluannya dengan cara menahan lapar dan dahaga. Ketika ditanya, mengapa kita berpuasa? Ramai orang Islam menjawab, agar kita dapat merasakan kelaparan yang dialami oleh orang-orang miskin, maka dengan ini akan terbina jiwa prihatin dan simpati kepada nasib mereka. Jika benarlah itu tujuan utama, mengapa orang miskin yang mampu berpuasa juga diwajibkan berpuasa?

Bukankah hari-hari yang bukan bulan puasa pun mereka selalu mengalami rasa lapar dan dahaga (kerana kesempian hidup)? Ikut logiknya, biarlah hanya orang kaya yang selalu kenyang itu sahaja ang berpuasa. Tetapi tidak demikian, yang kaya dan miskin sama-sama diwajibkan berpuasa. Ini bermakna ada tujuan lain yang lebih tinggi dan utama di sebalik rasa ‘lapar’ dalam berpuasa. Lapar kerana kesempitan hidup dengan lapar kerana berpuasa sangat jauh bezanya. Orang miskin mungkin selalu merasakan kelaparan kerana kesempitan duit, teapi di bulan puasa mereka berlapar hanya semat-mata kerana Allah ang hakikatnya itulah latihan membentuk peribadi mereka menjadi orang miskin yang sabar. Dan buat sikaya yang selalu kenyang pula, mereka terpaksa berlapar kerana Allah di bulan puasa walaupun makanan ada di hadapan mata, justeru itu satu latihan bagi membentuk peribadi ke arah menjadi sikaya yang syukur hatinya!

Oleh itu puasa yang benar-benar menjadi medan latihan ialah puasa orang soleh iaitu puasa yang dapat menahan anggota pancaindera seperti pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan anggota-anggota tubuh lain daripada melakukan dosa. Kemudian meningkat setahap lagi menjadi puasa orang muqarrabin yakni orang yang hatinya hampir dengan Allah dimana hati dan akal fikiran dikawal daripada mengingati selain Allah. Inilah puasa yang cemerlang.

Dan latihan berlapar disiang hari itu diikuti pula oleh pakej latihan yang berbentuk habluminallah dan habluminannas. Pakej ini perlu dilaksanakan untuk mendapat kesan yang padu dalam berpuasa. Oleh itu, dalam bulan puasa, kita perlu menjalani latihan-latihan bersungguh-sungguh. Antara latihan yang perlu dijalani ialah solat tarawih, membaca Al Quran, memperbanyakkan sadakah, iktikaf di mesjid, mengerjakan umrah dan membanyakkan amalan kebajikan.

Apabila nafsu dan hati telah terdidik, ia ibarat penjana diri untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan pada sebelas bulan berikutnya. Hati setelah dicanai dengan memperbanyakkan solat sunat, minda pula dicanai melalui pembacaan al-Quran, bertasbih dan beriktikaf, maka hati dan fikiran dapat dikawal dengan sebaik-baiknya. Apakah kelebihan iktikaf? Ia adalah satu perkara yang memberi konsentrasi dan mengawal minda. Apabila minda cantik, sikap yang dilahirkan pun cantik. Sikap itu adalah terjemahan dari hati dan minda.

Kesimpulannya, Allah swt pula telah menyediakan suasana yang kondusif bagi persiapan untuk latihan-latihan tersebut. Namun, kesan puasa tidak sama pada semua orang. Ia bergantung kepada cara kita melihat, tahap kita berusaha, kemampuan menahan keperitan, untuk mendapatkan taqwa. Moga-moga kita mendapat taqwa pada bulan Ramadan ini!

No comments:

Post a Comment